Harimau Malaya membaham Garuda itulah ungkapan yang dapat dikatakan apabila Malaysia memenangi Piala AFF Suzuki. Malaysia berjaya mengalahkan Indonesia dengan agregat 4-2. Maka kejayaan ini membawa nama Malaysia sebagai negara ke-4 yang memenangi piala ini selepas Singapura, Thailand dan Vietnam.
Ucapan tahniah yang dapat saya ucapkan kepada seluruh skuad kebangsaan apabila dinobatkan sebagai Raja Asia Tenggara. Pada perlawanan tadi Malaysia banyak bermain bertahan sahaja kerana yakin setelah kejayaan 3-0 pada perlawanan pertama. Serangan yang bertali arus pada separuh masa pertama oleh Indonesia nampak menakutkan kerana sangat pantas dan tepat. Pada kali ini Gonzales penyerang Indonesia berjaya membuat percubaan yang amat menarik dan dapat melepasi pertahanan Malaysia. Walaupun bermain bertahan pertahanan Malaysia agak goyah kerana leka dan apabila clear ball, bola hanya dibuang begitu sahaja tanpa sebarang percubaan.
Serangan Indonesia membuahkan hasil apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti apabila bola terkena tangan pertahanan negara, Sabre Abu. Sepakan penalti diambil oleh kapten mereka, Firman Utina. Dengan pengalaman dan latihan yang memberangsangkan penjaga gol sensasi negara, Khairul Fahmi dapat menyelamatkan sepakan leret Firman yang disepak ke arah kiri Fahmi. Semangat pemain negara kembali naik apabila aksi cemerlang tersebut dan kembali berkobar-kobar.
Perlawanan pada separuh pertama dapat dilihat dikuasai sepenuhnya oleh Indonesia. Tetapi pada babak kedua , perlawanan agak menarik kerana pada minit ke-53, kesilapan pertahanan Indonesia menyebabkan Malaysia mendahului. Apabila bola dihantar kepada Asaruddin , dia terus menghantar jauh kearah penyerang bernilai negara , Safee Sali. Walaupun dikawal oleh dua orang pertahanan Safee berlari dengan pantas dan merembat kencang menggunakan kaki kirinya. Bola terus memasuki gawang dan menewaskan penjaga gol, Markus. Sorakan penyokong Indonesia terhenti seketika dan kedengaran laungan daripada 500 penyokong Harimau Malaya.
Indonesia perlu mencari sekurang-kurangnya 5 gol. Serangan demi serangan dilakukan dan akhirnya pertahanan kiri Indonesia , Nasuha merembat kencang ke gawang Malaysia dan menewaskan Fahmi apabila terdapat ruang kosong pada minit ke-71. Gol tersebut menaikkan semangat pemain-pemain Indonesia dan pada minit ke 87 , gawang Malaysia dibolosi lagi dengan rembatan Muhammad Ridwan yang terkena pertahanan negara, Muslim. Perlawanan pada waktu itu adalah 2-1. Sehingga wisel penamat keputusan berpihak kepada Malaysia dengan agregat 4-2. Seluruh Malaysia bersorak kegembiraan apabila negara dinobatkan sebagai juara. Terima kasih kepada seluruh pemain dan jurulatih skuad Harimau Malaya dengan kejayaan yang cemerlang. Malaysia mampu meraih pelbagai kejayaan lagi.
TERIMA KASIH HARIMAU MALAYA
SAYA AKAN TERUS MEMBERI SOKONGAN KEPADA SKUAD NEGARA!!!
No comments:
Post a Comment